Terabai Kenyalang

Monday, July 19, 2010

ESEI : SUMBANGAN SHAHNON AHMAD DALAM MENGANGKAT ISU KEMISKINAN DALAM NOVEL PILIHAN

Shahnon Ahmad merupakan penerima Anugerah Sastera Negara yang ke-2 pada 9 Oktober 1982, selepas Anugerah Sastera Negara diberikan kepada Kamaludin Muhammad atau nama penanya Keris Mas pada tahun 1981. Anugerah Sastera Negara ini diperkenalkan pada awal tahun 1980-an adalah bertujuan untuk menghargai sumbangan para penulis tanah air dalam menghasilkan karya-karya kreatif mereka. Shahnon Ahmad telah dilabelkan sebagai “Anak Kreatif Malaysia Merdeka” semasa menerima anugerah tersebut. Antara novel-novel yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad yang sedikit sebanyak menyentuh isu-isu kemiskinan seperti Rentong, Seluang Menodak Baung, Ranjau Sepanjang Jalan , Patriach, Srengenge , Kemelut , Tunggil –tunggul Gerigis, Detik-Detik Diri Di Daerah Daif.

Menurut Mohd. Yusof Hasan (1990 : 1) Sasterawan Negara yang ke-2 ini, dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Kampung Derdap, Sik, Kedah. Pengaruh daripada latar kehidupan beliau yang berasal dari kampung, sedikit sebanyak mempengaruhi Shahnon Ahmad dalam menghasilkan karya-karya kreatifnya dari segi idea yang berkaitan dengan isu kemiskinan dalam kalangan masyarakat desa khususnya. Sebagai contoh dalam novel pilihan menurut Ismail Hussien ( 2005 : 24 ) Novelnya yang bertajuk Seluang Menodak Baung timbul daripada kegelisahan rakyat tani di Kedah pada tahun 70-an. Disini kita melihat keprihatinan Shahnon Ahmad dalam mengangkat isu-isu kemiskinan yang berlaku di tempat-tempat yang berdekatan dengan kawasan tempat beliau tinggal.

Berbalik kepada latar belakang zaman kanak-kanaknya, Shahnon Ahmad hidup sepenuhnya di kampung Banggul Derdap. Shahnon merupakan seorang kanak-kanak yang pendiam, pemalu dan tidak suka bercampur-gaul dengan orang lain. Apa yang sering dilakukannya adalah mengikut ibunya ke sawah. Di situlah dia bermain dengan air sawah, mencari ikan serta menolong ibunya mencabut rumput dan sebagainya. Di belukar-belukar dekat sawah, dia memburu burung-burung dan di sungai serta di sawah dia mencari ikan dengan alat-alat yang direkanya sendiri. Apabila masuk ke sekolah rendah, Shahnon terpaksa menyesuaikan diri dalam suasana persekolahan yang penuh dengan keriuhan, perlumbaan dan cabaran. Hal ini menunjukan pahit manis kehidupan Shahnon yang sejak dari kecil lagi telah dibesarkan dan dididik dengan cara yang serba sederhana dengan hasil padi sawah dan ini telah menyebabkan Shahnon cepat matang berfikir dalam melahirkan idea seperti novel Seluang Menodak Baung yang diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Heinemann Educational Books (Asia) Ltd, pada tahun 1978.
Selepas tamat sekolah menengahnya, Shahnon memperlihatkan bakatnya sebagai penulis. Kemunculannya mungkin daripada sebab-sebab peribadi dan alam sekitar yang pernah dilaluinya. Sifatnya yang sensitif mendorongnya menulis kisah-kisah hidup manusia yang berlaku di sekelilingnya. Keadaan keluarganya dan latar belakang hidupnya juga menjadi pendorong yang besar untuk dia menulis terutamanya yang berkaitan dengan isu kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Apa yang boleh digambarkan dengan perkataan kemiskian. Kemiskinan adalah keadaan dimana berlaku kekurangan terhadap perkara-perkara yang biasa diperlukan oleh seseorang individu seperti makanan dan minuman, pakaian serta tempat tinggal kerana keperluan ini sangat berkait rapat dengan kualiti hidup manusia. Makna lain kemiskinan juga adalah apabila sesutau tempat itu tidak mempunyai jaringan pendidikan dan pekerjaan yang boleh menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup sekumpulan masyarakat. Isu kemiskinan merupakan masalah global yang dihadapi oleh kebanyakan negara membangun pada masa sekarang. Istilah kemiskinan ini adalah sangat subjektif dan komparatif, sementara yang lainnya melihatnya dari segi moral dan evalutif dan lain lagi memahaminya dari sudut ilmiah yang telah mapan.

Mengapa persoalan kemiskian yang dipilih oleh Shahnon Ahmad dalam karya kreatifnya. Tema kemiskinan ini sebenarnya sudah sebati dengan kehidupan Shahnon, kerana keluarganya sendiri miskin, sanak saudaranya miskin, murid-murid yang pernah beliau didik semasa memegang jawatan sebagai guru adalah miskin, tambahan juga penuntut-penuntut sangat miskin dan setiap kali berulang-alik dari Pulau Pinang ke Sik itu tidak lain yang dicapainya iaitu hanya kemiskinan sepanjang jalan.

Dalam novel Rentong , Shahnon dilihat cuba menganalisis masyarakat desa yang amat memerlukan pembangunan. Shahnon Ahmad melahirkan simpatinya yang melimpah ruah terhadap perjuangan kaum tani yang miskin di kampungnya sendiri iaitu Banggul Derdap. Kebijaksanaan Shahnon Ahmad mengangkat watak-watak dalam novel tersebut seperti Dogol, Semaun, Pak Senik, Jeha, dan Lahuma. Tujuan Shahnon mengetengahkan konflik jiwa orang kampung ini adalah supaya golongan pemimpin sedar akan kebuntuan dan keperluan masyarakat desa yang terus terpinggi oleh arus pemodenan. Begitu mulianya sikap Shahnon Ahmad kerana melalui karyanya masalah masyarakat kampungnya terungkai dan mendapat perhatian dan simpati oleh pelbagai pihak khususnya pemimpin yang bertanggungjawab pada waktu itu.

Isu kemiskian dalam novel Rentung jelas mengambarkan kesusahan dan kesukaran hidup penduduk kampung yang hanya mengharapkan hasil daripada cucuk tanam mereka. Malahan juga penduduk-penduduk kampung hidup mengahrapkan hidupan ternakan mereka seperti lembu. Dalam novel ini Shahnon Ahmad berkongsi cerita dengan masyarakat bahawa masyarakat desa berhadapan dengan masalah serangan binatang buas seperti harimau. Kisah mengenai seekor harimau yang ganas sering kali menyerang dan makan lembu ternakan penduduk kampung Banggul Derdap.

Pelbagai cara telah dilakukan untuk membunuh harimau tersebut namun tidak berjaya. Hal ini kerana kurangnya kerjasama dalam kalangan masyarakat desa walaupun hidup dalam keadaan miskin dan papa kedana. Penduduk kampung hanya sedar akan kepentingan hidup bekerjasama setelah kematian Dogol akibat diserang oleh harimau yang sangat ganas itu. Mulai saat itu, penduduk kampung Banggul Derdap telah berpakat dan bekerjasama untuk menebus kematian Dogol.

Akhirnya, harimau yang ganas tersebut telah berjaya dibunuh oleh orang kampung. Kehidupan di kampung juga digambarkan oleh Shahnon Ahmad amat sukar untuk bersatu bila ada manusia yang ego dan bersikap tidak mahu bertolak ansur antara satu dengan yang lain. Hal ini ditunjukkan dalam watak Dogol dan Semaun yang sangat sukar unuk bekerjasama dan tidak bertegur sapa antara satu dengan yang lain.

Peranan ketua kampung sebenarnya sangat berat dan besar untuk menjaga ketenteraman dan mengalihkan pemikiran penduduk kampung supaya tidak terus berfikiran jumut. Misalnya watak Pak Senik yang sedaya upaya untuk menjaga keamanan di kampung Banggul Derdap. Novel ini sebenarnya ditujukan Shahnon kepada pembaca dalam kalangan pekerja di Jabatan Hidupan Liar supaya bertindak untuk menangkap harimau ganas yang telah menyerang haiwan ternakan mereka dan mereka sentiasa barada dalam ketakutan sekiranya haiwan liar tersebut tidak ditangkap atau diburu.

Kemiskinan orang kampung yang hidup melarat dan serba kekurangan dari segi tempat tinggal disentuh oleh Shahnon Ahmad dalam novel Rentung. Misalnya digambarkan seperti petikan ini ;
“Malam itu kurang menyenangkan penduduk-penduduk Kampung Banggul Derdap : Terutama kepada mereka yang beratap bocor. Langit hitam pekat. Tak ada bintang walau sebutir sekali pun. Sekali-sekala guntur mengamuk bagaikan setan minta korban.”
(Shahnon Ahmad. 1995 :161)

Betapa susahnya kehidupan orang kampung yang akan kebasahan setiap kali hari hujan kerana atap rumah yang diperbuat daripada atap nipah. Betapa berharapnya Shahnon Ahmad akan pihak yang bertanggungjawab supaya memberi kemudahan atau pun hak yang sepatutnya diberikan kepada golongan bumiputera khususnya penduduk kampung yang miskin.

Dalam novel Rentung ( 1983 ) Shahnon memperlihatkan perhatiannya yang bersungguh-sungguh terhadap permasalahan hidup manusia dan masyarakat bangsanya. Beliau memperlihatkan perasaan simpati yang amat mendalam terhadap nasib golongan yang malang. Apa yang malang itu, seperti biasanya di negara kita ini, adalah golongan orang kampung yang terbatas keupayaannya dalam menghadapi perjuangan hidup. Keterbatasan keupayaan manusia ini diperlihatkan oleh Shahnon Ahmad dalam novelnya dengan amat mengharukan.

Karya-karya awal Shahnon menonjolkan keterbatasan keupayaan orang-orang kampung berhadapan dengan kekuatan dan kezaliman alam, termasuk pemusnah-pemusnah di luar kuasa manusia seperti bencana yang dibawa oleh banjir atau kemarau di samping kemusnahan dan ancaman yang dibawa oleh makhluk bukan manusia seperti tikus, ular, katak, burung, ketam serta binatang buas dan lain-lainnya. Juga ditonjolkannnya keterbatasan keupayaan manusia kampung menghadapi kekuatan daripada makhluk alam ghaib yang merosakkan seperti puaka, hantu dan sebagainya.

Novel Rentung apabila diteliti ceritanya amat sederhana sahaja; pokoknya ialah konflik antara dua orang gergasi kampung Banggul Derdap iaitu Semaun, anak Pak Kasa yang pada masa mudanya telah terkenal sebagai syaitan betul, sehingga selanjutnya dibenci dan disingkiri oleh orang kampungnya. Nama jahat itu telah beralih kepada anak laki-lakinya, dan sebagai reaksi terhadap benci orang kampung, maka dia dengan penuh perasaan dendam kesumat terhadap masyarakat desa menyebabkan dia tidak mahu turut serta dalam kerjasama sebagai dikehendaki oleh zaman baharu. Misalnya ketika kepala kampung iaitu Pak Senik, datang mengajak dia turut serta dalam rancangan kampung hendak menanam padi dua kali setahun. Kerajaan akan membantu kampung dengan memberikan baja, traktor dan air, tetapi syaratnya ialah semua orang kampung mestilah turut. Semaun menolak permintaan Pak Senik, katanya kerana dia tidak sanggup menjijak adat turun-temurun, tidak berani menyeksa tanah pusaka, tetapi alasannya yang sebenarnya, walaupun barangkali tidak sedar, ialah sikap orang sekampungnya yang selalu mengasingkannya. Penolakan Semaun sudah tentu sesuai dengan rencana Dogol, gergasi kampung yang kedua yang sudah lam mencari dalih akan menghapuskan keluarga Pak Kasa dari kampung mereka. Pada sangkaannya sekarang telah tiba masanya, tetapi ternyata Pak Senik masih mahu bersikap sabar, masih mahu mencari sepakat dengan cara muafakat supaya mereka berbaik semula. Dalam keadaan yang tegang ini terjadi kemelut kerana Pak Kasa yang sudah lama sakit meninggal dunia; tetapi antara seluruh masyarakat kampung hanya Pak Seniklah yang datang menolong keluarga yang dukacita itu. Dengan kelakuan ini dia memujuk hati Semaun yang sebenarnya bukan syaitan; dia ternyata seorang yang jujur dan setia, tetapi dia mahu mempertahankan tanah pusaka nenek moyangnya dan dia mahu membela adiknya yang sedang remaja. Dalam pada itu Dogol menghasut orang sekampung dengan mengatakan sapinya yang hilang, katanya dicuri dan disembelih oleh Semaun, dan dia mengajak orang kampung supaya mereka bersama-sama membakar rumah Semaun. Tetapi Pak Senik memihak kepada Semaun, dia menghalang orang kampung dan meminta bukti dahulu. Orang kampung pergi mencari sapi yang hilang itu, lalu ternyata sapi Dogol telah menjadi mangsa seekor harimau. Harimau yang merbahaya itu perlu dibunuh, Semaun sanggup membunuhnya dengan pertolongan orang lain. Tetapi ketika dia sedang berjaga-jaga di atas ran, Dogol sendiri telah keluar dalam malam yang gelap hendak membunuh harimau itu supaya memulihkan maruahnya yang telah merosot. Ketika dia menengok Semaun yang sedang tertunggu-tunggu dia tidak dapat tidak mahu membalas dendam, tetapi ketika membidiki musuhnya dia sendiri diterkam oleh harimau yang membunuhnya sebelum harimau tersebut ditembak mati oleh Semaun.

Jalan cerita yang sedernaha inilah yang berjaya menunjukan serba sedikit kekurangan atau kemiskinan yang tertonjol dalam kalangan masyarakat desa. Desa adalah umpama jiwa dan nyawa kepada Shahnon Ahmad. Kehidupan desa sangat dekat dengan diri Shahnon. Dengan demikian Shahnon telah berjaya menghasilkan dengan baik segala lukisan fikiran kehidupan masyarakat desa melalui karya-karyanya. Tidak terlihat adanya pemaksaan. Apa yang ditulis dalam latar belakang desa ini adalah segala permasalahan masyarakat desa yang perlu dibantu.
Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan pula, sekali lagi Shahnon dilihat mengetehkan isu-isu kemiskian penduduk kampungnya. Sebagai contoh pembawaan watak Jeha dan Lahuma serta keluarganya. Plot novel Ranjau Sepanjang Jalan sangat menarik dimana keadaan padi yang sedang menanti masak tiba-tiba diserang oleh ketam berjuta-juta. Ketam tersebut lantas memusnahkan padi sebendang dan Lahuma menderita ditusuk duri pada kakinya oleh duri nibung hingga menyebabkan kakinya menjadi busuk. Isterinya Jeha telah berkorban jiwa dan raganya untuk merawat penyakit Lahuma yang sangat tenat tersebut.

Sememangnya novel Ranjau Sepanjang Jalan sebuah novel yang sangat menarik kerana terdapat pelgai konfik yang berlaku dan juga peristiwa yang berlaku sangat menyayat hati para pembaca. Kesinambungan dan penerimaan daripada masyarakat yang sangat ghairah dengan novel Ranjau Sepanjang Jalan ini maka telah diterjemahkan novel ini kepada bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul No Harvest A Thorn. Kita dapat melihat bahawa novel hasil karya Shahnon Ahmad ini memang karya yang berkualiti dan menarik apabila terjemahkan novel ini diangkat sebagai salah sebuah anatara 10 novel terbaik di Sydney, Australia pada 1980-an. Malahan juga novel Ranjau sepanjang Jalan ini juga pernah diterjemahkan kepada bahasa lain selain daripada bahasa Inggeris seperti Sweedish, Spanish, French, Rusia dan lain-lain.

Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ini, Shahnon telah mengetengahkan permasalahan masyarakat tani yang dilema serangan ketam ke atas tanaman mereka. Contohnya watak Jeha yang serba kekurang dalam membesarkan anaknya sangat sedih semasa sawah padinya ditumbangkan oleh ketam-ketam. Begitu kasihannya penduduk Kampung Banggul Derdap pada ketika itu. Ketam yang menyerang padi penduduk Kampung Banggul Derdap bukannya sedikit. Sebagai contoh Jeha teringatkan telatah suaminya Lahuma yang pernah mengumpulkan ketam-ketam tersebut sehinggakan hampir penuh dua bakul padi penuh. Betapa banyaknya binatang yang dianggap sial oleh masyarakat tani pada ketika itu.

Shahnon juga mengambarkan bagaimana pentingnya padi kepada kehidupan penduduk Kampung Banggul Derdap walau pun hanya diceritakan melalui watak keluraga Jeha dan Lahuma sahaja. Tetapi hal tersebut sangat jelas menungkitkan amarah bahawa tanpa padi, masyarakat tani khususnya boleh kebuluran. Melalui ancaman ketam yang menyerang padi-padi yang baru ditanam, bila ketam datang Jeha dan Lahuma akan terpaksa mengutip ketam itu tidak mengira siang dan malam supaya hasil tanaman mereka akan menjadi. Jika dibiarkan ketam tersebut mematahkan batang padi maka hasil tanaman mereka akan musnah dan meraka tidak ada sumber untuk dimakan. Begitu seksa hidup menjadi penduduk desa menurut Shahnon Ahmad. Petikan dibawah mengambarkan betapa penyingnya padi kepada kehidupan keluarga Lahuma ;

“Padi mesti ditanam. Mesti dijaga.” “...Anak-anak kita perlu makan siang malam. Tidak ada nasi, anak-anak kita akan mati. Makan bergantung kepada sawah. Sakit segar bergantung kepada kepada sawah. Mati hidup bergantung kepada sawah. Sawah nadi segar kita sejak datuk nenek dahulu lagi.Dia mesti dipupuk dan dijaga. Biar siapa datang menyerang, kita wajib melawan. Biar datang seribu musuh, kita mesti lawan. Itulah hidup kita. Itulah hidup anak kita. Itulah satu-satunya hidup keturunan kita dari dahulu sehingga sekarang.”
(Shahnon Ahmad. 1995:185)

Sememangnya bagi penduduk kampung, tanpa padi mereka akan mati menurut Shahnon Ahmad. Sebenarnya pemikiran mereka masa itu masih miskin, namun jika kita melihat dewasa ini masyarakat yang rajin dan cekal begini boleh menjadi kaya kerana mereka melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh untuk hidup. Shahnon Ahmad ingin memberitahu bahawa bahawa keperluan beras itu perlu ada untuk masyarakat desa supaya mereka tidak akan kebuluran. Malahan juga hanya melalui hasil pendapatan daripada menjual padi Jeha boleh mengupah orang untuk membaiki atap, membeli baju dan kain serta membiayai anak-anaknya terpaksa berhenti seketika daripada bersekolah akibat daripada masalah kewangan.

Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan , Shahnon telah memperlihatkan betapa terbatasannya keupayaan manusia kampung menghadapi binatang-binatang kecil yang buas, onak, duri, dan ranjau yang membunuh. Dan beliau memberi simpatinya dengan amat mendalam dengan ikhlas dan berkesan bahawa manusia harus terus berjuang untuk menghadapi bahaya keganasan dan kekejaman alam ini.

Tema kemiskinan petani di kawasan pendalaman yang sangat menonjol dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan begitu bermanfaat untuk dihayati sesiapa sahaja tidak mengira lapisan umur. Melalui novel ini kita mampu merasai keperitan dan kesusahan hidup golongan miskin. Antara faktor-faktor kemiskinan petani di Kampung Banggul Derdap ialah kekurangan tanah, kekurangan modal, dan kekurangan tenaga. Tambahan juga kegiatan pertanian para petani di Kampung Banggul Derdap dihalang ataupun disekat oleh unsur-unsur bencana alam dan musuh-musuh padi.

Gejala-gejala fahaman kolot orang kampung sedikit sebanyak menyebabkan pembangunan lambat dikembangan ke kawasan pendalaman khususnya kampung-kampung yang terperuk jauh di kawasan hutan. Sikap para petani yang mudah menyerah semasa ditimpa kesususahan sangat ditekan oleh Shahnon Ahmad supaya golongan petani sedar akan bahan tulisannya akan bengkit dan merubah pendirian mereka yang kolot dan jumut. Kelemahan golongan wanita dan juga penindasan orang tengah telah menambahkan lagi kesusahan hidup para petani di Kampung Banggul Derdap. Walaupun latar tempat mengisahkan penindasan orang tengah hanya di Kapung Baggul Derdap, namun sebenarnya penindasan seperti itu terdapat dimana-mana sahaja khususnya di kawasan kampung. Begitu kritis, sensitif dan pintarnya pemikiran Shahnon Ahmad sehingga dapat mengambarkan kesusahan hidup seluruh golongan miskin di seluruh negeri di Malaysia.

Sebelum Shahnon Ahmad belum pernah ada pengarang yang menyentuh isu-isu kemiskian secara terperinci. Shahnon berjaya membawa pembaca merasa kesan kemiskianan hidup tersebut dan pembaca juga seperti pemerhati sahaja dan tidak terdaya melakukan apa-apa sepanjang menghayati novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Dalam novel tersebut juga kita merasai bagaimana kedaifan hidup golongan petani, walau apapun di sebalik kesusahan dan kemiskinan tersebut telah terserlah sebutir permata yang bernilai dan murni.
Kemiskianan dan keperluan rakyat juga diangkat Shahnon dalam novel Patriarch. Walaupun novel Patrich banyak berkisar kepada isu-isu politik, namun secara dasarnya watak pemimipin dalam novel tersebut iaitu Jasadiah berusaha untuk melangsaikan belenggu-belenggu kemiskinan yang dihadapi oleh penduduk kampung yang dibawah pimpinannya. Dimana watak Jasadiah yang merupakan seorang wakil rakyat telah bersumpah dan berjanji berhabis-habisan untuk memperjuangkan dan mengubah taraf hidup rakyat yang masih serba kekurangan. Jasadiah dan isterinya Hamidah bersetuju untuk berkorban demi untuk mencapai kehandak rakyat. Mereka sanggup memilih untuk hidup susah, apa yang penting bagi mereka adalah nasib rakyat terbela dan terjaga.`

Masalah rakyat adalah dianggap masalah pemimpin juga. Hal inilah yang dirasakan oleh Jasadiah yang digambarkan oleh Shahnon Ahmad dalam novel Patriach tersebut. Petikan berikut merupakan janji-janji jasadiah dalam perjuangannya untuk memajukan masyarakat miskin ; “ kita akan berjuang untuk rakayat. Kita akan berlapar untuk rakyat. Kita akan mati dan hidup untuk rakayat...”; “Kita berkorban untuk rakyat. Rakyat yang beribu. Rakyat yang berjuta. Berpuluh beribu juta itu sedang menanti pemberian kita.” Betapa belas kasihan hati seorang pemimpin terhadap masalah rakyat digambarkan dalam perwatakan Jasadiah semasa dia memberikan ucapan kepada rakyat yang dipimpinnya. Dia tidak menahan rasa terharunya kepada rakyat. Dia dan isterinya sama menangis kerana terlalu sedih dengan nasib golongan miskin yang akan diperjuangkannya.

Hutang Jasadiah terhadap rakyatnya melalui janji-janjinya sangat banyak. Setiap janji-janji yang telah terkata tersebut perlu dikotakannya. Hal ini, dialami sendiri oleh Jasadiah dalam igauannya seperti “ ...di sana itu akan berbaris berjuta rakayat yang bakal menghulur tangan dan mengemis benda daripananya.” Shahnon Ahmad mengetengahkan watak Jasadiah dan digelar rakyat sebagai Patriach kerana dia sangat berjiwa rakyat. Menurut Shahnon Ahmad dalam novel ini, sikap Jasadiah seharusnya dicontohi oleh pemimpin pada masa itun dan masa depan. Tanpa pemimpin yang benar-benar jujur dan hanya inginkan kepentingan diri tidak akan mampu mengubah kepritan dan masalah masyarakat desa yang dibelenggu oleh masalah kemiskinan. Kebangkitan Shahnon Ahmad dalam menghasilkan novel ini menunjukkan beliau juga sebenarnya salah seorang masyarakat yang berjiwa Patriach dan sememangnya layak dianugerahkan pinggat tertinggi dalam bidang sastera seperti Anugerah Sastera Negara.

Kehadiran Shahnon dalam bidang sastera memang banyak impaknya. Dengan pelbagai gaya, pendekatan dan persoalan, Shahnon Ahmad telah melukiskan warna kehidupan masyarakat terutamanya masyarakat desa yang tinggal jauh di ceruk kampung dengan segala kekurangan dan penderitaan , Semua itu sangat berbeza dengan corak kehidupan masyarakat di bandar besar yang penuh dengan segala kemewahan dan keseronokan.

Karya-karya yang Shahnon Ahmad hasilkan bukan sekadar hiburan dan ilmu untuk santapan masyarakat. Malah memberitahu golongan atasan bahawa kemiskian dan kesusahan hidup masyarakat desa yang tidak pernah diambil peduli oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Shahnon Ahmad adalah seorang yang bersikap revolusioner dalam mengangkat martabat masyarakat miskin di negara ini. Banyak ahli politik mengatakan beliau mengucar-kacirkan masyarakat, namun tanggapan tersebut adalah silap kerana Shahnon Ahmad memperjuangkan sesuatu yang murni dan tulus dalam dunia sasteranya.

Bagi Shahnon Ahmad amat perlu pengarang-pengarang lain bersikap revolusioner demi membangunkan sebuah negara yang maju dan adil. Revoluisoner menurut pandangan Shahnon Ahmad ialah perlunya bersuara keras dan bertindak keras untuk meruntuh dan menghancurkan sesuatu itu dan disertakan pula dengan daya cipta untuk membina sesuatu yang baru sebagai ganti yang lapuk, yang diruntuh dan dirubah. Pemikiran seorang intelek seperti Shahnon Ahmad kurang disukai oleh barisan kepimpinan negara kerana boleh mengugat kedudukan mereka melalui karya-karya kreatif Shahnon yang tajam serta memberitahu segala sesuatu yang pincang dalam masyarakat terutamanya golongan miskin.

Dalam novel beliau yang bertajuk Sampah pula, sekali lagi falsafah mengenai isu kemiskinan terungkai . Watak “Dia” dalam novel Sampah telah berusaha berjuang mengeluarkan dirinya daripada lingkungan pengemis. Pelbagai konflik yang berlaku dan dihadapi oleh watak utama iaitu “Dia” menjadikan novel Sampah sebuah kisah hidup yang panjang dan penuh dengan suka dan duka dalam arus gelora kehidupan.

Sumbangan Shahnon Ahmad yang sanagt ketara dan jelas dalam mengangkat isu-isu kemiskinan ialah dalam sebuah novel autobiografi hasil tulisan beliau sendiri yang bertajuk Detik-detik Diri di Daerah Daif (DDDD). Isi kandungan novel ini adalah berkisar kepada permasalahan manusia yang hidup di kawasan desa. Beliau berusaha mengangkat kepritan hidup seseorang individu yang mahu berjaya dan meloloskan diri dari kemiskinan untuk bersaingan dengan orang luar ataupun golongan masyarakat yang mempunyai taraf kehidupan yang mewah dan berharta. Nilai kasih Shahnon terhadap golongan yang miskin sangat tinggi. Hal ini mendorong beliau untuk mengahsilkan karya sebegini supaya masyarakat tahu, sedar dan ingat jika mengahadapi kesenangan kerana di dalam mereka mengalami kesenangan dan kenikmatan hidup, sebenarnya ada segelintir lagi yang malang tidak dapat menikmati kebahagiaan yang sedia ada.

Melalui DDDD, Shahnon Ahmad menceritakan tentang keadaan kampung Banggul Derdapseperti juga kampung-kampung tradisional yang lain pada masa itu, hidup dengan flora dan faunanya. Hidup masyarakat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang iaitu terpaksa bergelumang dengan selutdi bendang dan bermandikan keringat di bawah terik matahari. Dengan tulang empat kerat, mereka bergelut melawan serangan burung tiak dan bencana alam seperti banjir dan kemarau. Contoh kesusahan tersebut dapat dilihat melalui petikan dibawah;
Demikian apa yang saya teringat tentang Banggul Derdap...Tapi kalau hujan turun dengan lebatnya di sebelah hulu Sungai Ceper, air sungai deras melimpah membawa kotoran yang terlalu banyak sampah sarapnya. Air itu kerabat tebing, menjalar masuk bendang. Kalau musim padi sedang menguning, banyak pokok padi yang rebah, banyak buahnya yang rosak dan banyak tengelam begitu saja. Orang kampung cuba melawan banjir tetapi banjir lebih kuat.
(Shahnon Ahmad. 1991 : 5)
Dalam Srengenge , Shahnon telah memperlihatkan lagi simpatinya terhadap ketiadaan upaya manusia kampung menghadapi sebuah bukit yang berpuaka. Kuasa atau kekuatan alam ghaib seperti ini adalah salah satu kuasa atau tenaga yang amat besar dan gagah berdiri di hadapan manusia yang lemah dan kerana itu harus dihadapi dengan gigih dan bijaksana. Betapa lemah dan tidak berupayanya manusia kampung namun Shahnon memberikan simpatinya dan memberikan keyakinannya bahawa mereka harus berjuang terus.
Dalam novel ini, diperlihatkan satu sistem nilai dalam kalangan kehidupan manusia di kampung. Masing-masing mempunyai kemahuandan minat dalam membuat sesuatu dan sesuatu yang dikerjakan itu membawa nikmat yang tak ada tandingannya. Misalnya, watak Siddik berminat menepuk pelanduk di Srengenge . Perhatiakan petikan ini : “ Dia gemar melihat kaki pelanduk terkengkeng kena jerut tali ciding...Melihat pelanduk terbingkas ke udara terkengkeng terkoyak paha itu memberi sesuatu yang paling nikmat buat Siddik; sesuatu nikmat yang dia sendiri tak tahu hendak cerita” (hlmn 20).

Novel Srengenge ini sebenarnya tidak dapat dinikmati oleh orang yang tidak mempunyai nilai –nilai kekampungan. Hal ini kerana novel ini cuba mendedahkan satu aspek institusi kedesaan yang komplek yang berhubungan dengan kuasa ghaib yang meliputi cara hidup, kepercayaan, pantang larang atau tabbo, adat istiadat dan sebagainya.

Hidup orang kampung dalam novel Srengenge pada lahirnya dan pad a pandangan orang adalah taraf ekonomi mereka adalah susah dan miskin. Misalnya jika dilihat dari segi kekurangan pendapatan dan dibandingkan dengan kehidupan orang bandar. Akan tetapi, pada hakikatnya semua orang kampung bahagia hatinya, tenteram jiwanya, sikapnya yang kurang riak, dan sola pendapatan kewangan adalah kurang diambil berat oleh mereka. Apa yang pentimng adalah ketenangan dan ketenteraman jiwa mereka. Kisah kehidupan masyarakat desa ini sangat kompleks tetapi riang ria dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup setiap hari.

Seterusnya Shahnon melihat lebih jauh, bahawa manusia itu menghadapi cabaran dan penindasan di mana-mana. Bukan di kampung sahaja dan bukan dalam kalangan orang miskin sahaja, bahkan dalam kalangan orang kota dan orang yang termasuk dalam golongan tidak miskin. Namun sumbangan Shahnon dalam mengangkat isu-isu kemiskinan dalam novel adalah tiada tandingan di negara merdeka ini. Beliau kemudian menyorot pula kelemahan manusia berhadapan dengan manusia. Kezaliman dan penganiayaan manusia terhadap manusia juga sebenarnya boleh menyebabkan kemiskian hidup dan akal dalam masyarakat. Shahnon memperlihatkan sorotannya tentang manusia berhadapan dengan manusia ini dan memberikan simpatinya yang ikhlas kepada golongan yang lemah. Contohnya dapat kita baca dan hayati dalam novel-novel Shahnon Ahmad yang bertajuk Perdana, Menteri, Protes dan Patrich.

Sumbangan yang paling agung dan unggul Shahnon dalam bidang penulisan adalah kerana beliau seorang penulis yang begitu sensasi terhadap peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam dan di luar lingkungan masyarakat bangsanya. Beliau mempelopori sikap yang dinamakan Malay Power (Hamzah Hamdani dan Zeti Aktar Jaffar : 2007) apabila melihat betapa lemahnya orang Melayu apabila keadaan politik, ekonomi dan sosial menekan seperti peristiwa 13 Mei 1969. Sebab dan akibat ini adalah mendorongnya meningkat dari pemikiran membela orang yang miskin untuk berhadapan dengan kekejaman dan kekuatan alam kepada pemikiran membela orang atau bangsanya apabila terpaksa berhadapan dengan kekuatan manusia- manusia riak.

Shahnon Ahmad bukanlah seorang pemikir yang mendahului zamannya tetapi beliau tetap merupakan pelopor yang paling sensitif terhadap perubahan-perubahan penting yang melibatkan bangsanya. Apa yang paling mengamit atau menyentuh perasaannya adalah manusia itu tidak mampu merasaai nilai seperti mana yang seharusnya dirasai dan dinikmati oleh seoarang yang bergelar manusia. Persoalan inilah yang ingin ditonjolkan sebenar-benarnya oleh Shahnon Ahmad dalam beberapa novelnya.

Ketokohan Shahnon dalam mengangkat isu kemiskinan dengan berkesan dalam penulisan karya kreatif belum ada pengantinya sehingga ke saat ini. Betapa sukarnya untuk mencari penulis-penulis dalam kalangan generasi baru yang berjiwa kemiskinan atau memertabatkan nilai kemiskinan untuk disanjung di mata pena. Istilah mata pena yang lebih tajam daripada mata pedang memperlihatkan ketajaman isu kemiskinan dan kesusahan serta kesakitan yang dialami oleh masyarakat desa sedikit sebanyak terluah dan dimuntahkan dalam karya Shahnon Ahmad. Sumbagan Shahnon ini sebenarnya telah berjaya meringgankan beban yang membelenggu naluri dan jiwa masyarakat desa yang tidak mampu bersuara. Hanya mata pena Shahnon Ahmad yang mampu menjerit dan memanggil meminta pertolongan bagi mengubah nasib golongan hamba Tuhan yang kurang bernasib baik ini.

3 comments:

  1. um.i thnk u ought to recheck on rentung info. i guess thres mistakes in your analysis. anyway, thnx for this:)

    ReplyDelete
  2. bagus info yang ada berikan. banyak perkara yang saya tahu tentang sasterawan negara ini.

    ReplyDelete
  3. Banyak novel beliau yang dah saya baca cuma saya gagal dan tidak pernah memiliki novel "Tivi" apatah lagi membacanya...

    ReplyDelete