Terabai Kenyalang

Tuesday, January 4, 2011

SEJARAH PERKEMBANGAN NOVEL ( 1960-an )

Perkataan “novel” banyak maksud dan dapat dibahagikan kepada dua iaitu “novel kecil” yang dikenali sebagi novella dan “novel besar” yang dipanggil novel. Semua cerita yang panjangnya sederhana atau yang sangat panjang semuanya boleh terangkum dalam satu dan dikenali sebagi novel. Kemuncunlan karya-karya sastera seperti novel-novel Melayu sejak tahun-tahun 1920an hingga akhir-akhir tahun 1960an dengan membawakan isu, pemikiran dan dan juga gaya bahasa dan teknik penceritaan tersendiri dan sesuai pada kontek zamannya, sebenarnya telah menjadi dasar (model) dan kovensi kepada proses penciptaan bentuk novel yang kukuh kepada pengarang-pengarang novel Melayu yang mula brkarya pada dekad 40an hingga dekad 60an. Dalam aspek teknik penceritaan yang terdapat pada novel-novel Melayu awal, memang tidak dapat dinafikan terdapatnya unsur-unsur pembaharuan yang (reformasi) yang diungkapkan oleh pengarang novel Melayu (kecuali Ishak Haji Muhammad) yang telah mula berkarya pada tahun-tahun 1950an dan 60an seperti A. Samad Said, Salmi Manja, Hamzah Hussien, Shahnon Ahmad, Ahmad Boestaman (Ruhi Hayat), Azizi Haji Abdullah, S.Othman Kelantan, Hassan Ali, A. Samad Ismail, Hamidah Hassan, Khadijah Hashim dan Hassan Ibrahim.

Dengan terbitnya novel Rumah Itu Dunia Aku (1951), Musafir (1959), dan Salina (1961) hingga kini telah menimbulkan beberapa pandangan dan pendapat yang berbeza, sama ada dari segi kriteria penilaian mahupun dari segi isu yang menjadi pemikiran (merangkumi isu akhlak dan moral) serta teknik penceritaan yang diterapkan oleh pengarangnya. Contohnya novel Salina yang telah diangkat oleh Panel Penilai (1958) sebagai pemenang hadiah penghargaan saja itu jauh lebih berhasil sama ada dalam aspek tema dan persoalan yang diolah mahupun dalam aspek struktur penceritaan berbanding dengan novel Musafir yang diangkat sebagai pemenang kedua.


Perkembangan Novel Tahun 1960-an

Perkembangan novel-novel malaysia dikatakan mengalami zaman kegemilangannya dalam tahun-tahun 1960-an. Ini dianggap sebagai benar, kerana wujudnya alasan-alasan yang jelas dan kuat. Alasan-alasan tersebut paling banyak, terlihat dalam latar belakang corak perkembangannya yang demikian bertumpukan hampir keseluruhannya hampir kepada perubahan besar yang berlaku dalam aspek-aspek politik, sosial, dan ekonomi negara. Perubahan ini turut mempengaruhi perkembangan dan kemajuan kegiatan penulisa novel tahap itu ,maksudnya perubahan ini, telah menimbulkan sebab dan alasan besar yang memberikan dorongan-dorongan yang lebih mantap dan segar kepada kegiatan penghasilan jenis sastera novel.

Antara sebab –sebab yang utama dapat disebutkan sebagai berikut. Pertama ialah pendaulatan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan; kedua ,tertubuhnya berbagai-bagai institusi kesusasteraan; ketiga adanya peningkatan dan pendidikan pengarang; keempat bertambahnya jumlah penaung kesusasteraan; dan kelima, lahirnya gejala-gejala baharu dalam masyarakat dan negara yang baru merdeka.

Tahun-tahun 1960-an ialah tahun-tahun gerakan mengisikan kemerdekaan negara. Salah satu pengisian tersebut, yang dianggap sebagai penting dan segera dilaksanakan, adalah langkah mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Kerana maksud inilah maka tertubuhnya Dewan Bahasa Dan Pustaka dalam tahun 1956 dan bergerak cergas dalam tahun–tahun 1960an untuk memenuhi matlamat dan fungsinya sebagai institusi pembina serta pengembangan utama bahasa dan kesusasteraan negara. Dalam pelaksanaan memantapkan fungsinya itu, Dewan Bahasa Dan Pustaka telah mengadakan berbagai-bagai penyelidikan dan penerbitan tentang bahasa dan kesusateraan. Penciptaan hasil-hasil kesusasteraan dipertingkatkan bukan sahaja dari segi kuantitinya. Ekoran daripada tujuan ini maka tiga peraduan mengarang novel telah dilaksanakan semenjak awal dekad 1960an, iaitu dalam tahun 1958, 1962, dan 1967.

Dalam pada itu juga, peraduan mengarang yang dianjurkan pada masa itu telah memberikan kesan yang baik terhadap kehidupan penulisan novel sepanjang dekad tersebut. Hasilnya ialah lahirnya beberapa buah novel yang baik dan tinggi nlainya seperti Salina,. Lingkaran, Merpati Putih Terbang Tinggi, Pulanglah Perantau dan Interlok. Ini seterusnya menjadi sebab munculnya ramai pengarang baru yang gigih dan berbakat besar.

Pada tahun 1960an, pengarang-pengarang novel lebih menumpukan novel-novel berunsur politik. Hal ini dianggap menarik sesuatu yang menarik dan merupakan sesuatu pembaharuan jika dibandingkan dengan isu-isu dan pemikiran yang diungkapkan dalam novel-novel yang berunsur politik sebelumnya seperti novel Anak Mat Lela Gila dan Putra Gunung Tahan. Secara kasar dalam novel-novel sebelum tahun-tahun 1960an iaitu sebelum Tanah Melayu Mencapai Kemerdekaan isu-isu dan pemikiran yang berunsur politik itu lebih merupakan suara hati nurani pengarangnya yang berjiwa nasionalis (kebangsaan) untuk menuntut kemerdekaan tanahair dan mendapatkan hak-hak dan keadilan dalam aspek-aspek tertentu sama ada dari segi sosioekonomi dan, sosiopolitik, dan sosiobudaya daripada pihak penjajah Inggeris dalam bentuk wacana yang simbolik sifatnya, supaya tidak dapat dikesan maknanya dengan mudah oleh penjajah, namun diharapkan dapat dimengertikan oleh pembaca sealiran perjuangan dengan pengarang.

Namun dalam novel-novel berunsur politik pada dekad 60an itu, pada keseluruhannya isu-isu dan pemikiran yang dimunculkan tidak lagi ditumpukan kepada suara-suara menuntuk kemerdekaan daripada penjajah Inggeris kerana negara memeng sudah merdeka (31 Ogos 1957) dan ancaman daripada pihak komunis terhadap kerajaan dan rakyat jelata pun telah semakin lenyap. Justeru, sebagai altenatif pengarang-pengarang novel tersebut mengarahkan pula daya kepengarangan dan kreativitinya kepada isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakatnya pada waktu itu, di samping isu-isu masa lalu yang masih segar dalam ingatan (lantaran dialami) atau yang telah menjadi bahan sejarah yang ada mengandungi dan dibayangi unsur-unsur politik itu.

Sesuatu hal yang menarik dalam penyuaraan unsur-unsur berbau politik ini ialah tentang “keberanian” pengarang-pengarang tersebut yang mengutarakan unsur-unsur yang memang belum pernah disuarakan sebelumnya, umpamanya unsur-unsur rasuah, kejatuhan dan kehancuran tokoh-tokoh dalam sesebuah parti, penyelewengan, kecurangan, perebutan kuasa, penipuan dan tohmah demi kepentingan diri dan sebagainya seperti yang diungkapkan oleh Alias Ali dalam novel Krisis, Arena Wati dalam novel Lingkaran dan novel Jalan Malam ke Ibu Kota, Shahnon Ahmad dalam novel Menteri dan Perdana, Hassan Ibrahim dalam novel Tikus Rahmat dan Ruhi Hayat dalam novel Garis Hitam Membelah Langit.

Jumlah Dan Ciri-Ciri Novel Tahun 1960an

Jumlah buku yang dihasilkan adalah sebanyak 238 buah iaitu dihasilkan oleh pengarang-pengarang sama ada yang sudah bergiat sebelumnya dan terus bergiat disepanjang dekad tersebut. Mahu pun mereka yang memang sudah menceburkan diri pada tahun 1960an itu.

Jumlah yang agak besar ini, kita dapat meletakkan dua kategori utama. Pertama, kategori novel peraduan. Kedua, kategori novel bukan peraduan. Daripada kedua-dua kategori ini, terdapat berbagai corak-corak novel yang terhasil; antaranya yang terpenting ialah corak novel kemasyarakatan, politik, perang (darurat) dan sejarah .

Ditinjau dari segi mutunya, ternyata bahawa novel-novel dekad 1960an memperlihatkan kemajuan, baik pada temanya mahupun pada teknik penulisnya. Kita dapat melihat perkembangannya dari segi temanya lebih beragam, besar dan bermakna; ia menyentuh kehidupan masyarakat juga individu, baik pada peringkat lahir mahupun batin. Dengan penerokaan pada tema-tema kehidupan batin manusia, maka novel-novel tahun 1960an dapat dikatakan sudah mula memberikan perhatian untuk memasukan unsur-unsur psikologi yang berkesan. Pendedahan dan pelukisan watak menjadi semakin baik dan hidup dengan kemasukan unsu tersebut. Shanon Ahmad, umpamanya dapat memanfaatkan unsur ini dengan amat berkesan dalam novel-novelnya yang bertajuk Terdedah (1965), Ranjau Sepanjang Jalan (1966), Protes (1967), dan Menteri (1967). Demikian juga yang terlibat pada A.Samad Said melalui dua buah novelnya yang terkenal, iaitu Salina(1961), dan Sungai Mengalir Lesu ( 1957 ). Anas K.Hadimaja bersama-sama S. Othman Kelantan pula mengunakan unsur ini untuk dihubungkan dengan soal-soal kepercayaan dan keagamaan seperti yang dilihat dalam novel Jalan Pulang (1966) dan Pernentangan ( 1967 ).

Pemakaian gaya bahasa dilihat mengalami perubahan yang besar dalam novel-novel dekad 1960-an ini. Gaya bahasanya lebih mantap, segar dan berkesan.Masing-masing mampu untuk memperlihatkan gaya bahasanya, lebih mantap, segar dan berkesan. Masing-masing mampu untuk memperlihatkan gaya bahasanya yang tersendiri, yang berbeza dengan pengarang-pengarang lain.Pemakaiannya tidak dilakukan secara sembarangan, kecuali nutuk disesuaikan dengan corak tema dan watak yang dikemukakan. Bahasa kiasan banyak dicipta, dan ciptaan itu hampir keseluruhan bersifat asli, sesuai dan menarik. Shanon Ahmad merupakan novelis yang paling berjaya dan banyak menimbulkan bahasa kiasan.Bahasa kiasan ini dapat memberi sumbangan yang besar dalam memperjelas dan menghidupkan gambaran, di samping peranannya untuk memperkayakan gaya bahasa penulisan novel.


Selain itu, kemajuan juga turut dilihat pada teknik penulisannya. Kebanyakan pengarang tidak lagi menggunakan teknik lama, atau meniru daripada gaya penulis-penulis lain, khususnya dalam aspek pengolahan cerita dan pendedahan watak. Masing-Masing pengarang cuba membawakan teknik-teknik baru yang diperoleh daripada pengalaman dan pembacaan kesusasteraan Barat. Demikianlah maka terlihat teknik-teknik baru seperti aliran kesedaran (stream of consciousness ), monolog dalaman (interior monologue), imbas kembali dan imbas muka, digunakan dengan meluasnya dalam novel-novel ciptaan tahun 1960an.

Pengarang-Pengarang Novel 1960an

Antara pengarang-pengarang yang benar-benar menempatkan namanya dan jalur perkembangan kesusasteraan Melayu bukan sahaja pada tahun-tahun 1960an, malah seterusnya hingga dekad 70an hanyalah beberapa orang sahaja seperti Shanon Ahmad, A. Samad Said, Arena Wati, S. Othman Kelantan, dan Abdullah Hussain. Di samping itu, terdapat juga pengarang-pegarang yang berpotensi dalam pengolahan tema dan penerapan teknik penceritaan tersebut yang hanya menciptakan sebuah novel lantas mengundurkan dirinya umpamanya Ali Ahmad (Alis Murni) yang menghasilkan novel Letusan (1963), Hassan Ibrahim yang menghasilkan novel Tikus Rahmat (1963), Hamidah Hassan yang menciptakan novel Meniti Pelangi (1964) dan juga Abdul Wahab Ali yang hanya menghasilkan dua buah novel iaitu Pemburu (1968) dan Angin Hitam (1968).

kemunculan novel Salina kemudian diikuti oleh Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri (1966) dan Sungai Mengalir Lesu (1967) telah melonjakan nama A.Samad Said dalam arena novel Melayu pada dekad 60an itu, begitu juga dengan Rentung (1965), Terdedah (1965), Protes (1967), Menteri (1967), Perdana (1969), Ranjau Sepanjang Jalan (1966), dan novel Pengertian (1966), Penentangan (1967), dan Angin Timur Laut (1969), telah menaikan imej Shanon Ahmad dan S.Othman Kelantan. Perbezaannya ialah A.Samad Said muncul sebagai pengarang novel melalui Sayembara (peraduan) mengarang , kemudian disokong pula dengan pandangan beberapa orang sarjana dan Pengkritik, sedangkan Shanon Ahmad dan S.Othman Kelantan tidak pernah diangkat oleh sesuatu peraduan dan sayembara, nama mereka berdua secara langsung ditonjolkan oleh pengkaji-pengkaji dan pengkritik-pengkritik novel dari dalam mahu pun dari luar negara pada waktu itu. Novel-novel Shanon Ahmad dan S.Othman Kelantan yang diterbitkan pada dekad 60an itu paling kerap mendapat tanggapan dan kritikan sama ada bersifat positif mahu pun negatif.

Keadaan ini terjadi munkin disebabkan pemikiran dan persoalan-persoalan serta latar dan suasana kemsyarakatan yang diungkapkan oleh kedua-dua pengarang ini berbeza dengan pemikiran dan persoalan-persoalan serta latar dan suasananya yang diungkapkan oleh pengarang-pengarang lain sebelumnya. Kedua-dua pengarang yang berlainan daerah asalnya ini, Shanon dari Utara Semananjung Tanah Melayu dan S.Othman Kelantan dari Timur Semenanjung Tanah Melayu dengan penuh rasa kesedaran dan tanggungjawab moral mencitrakan tentang kehidupan masyarakat tani dan nelayan yang berlatarkan desa yang jauh daripada menikmati kemudahan-kemudahan asas yang seharusnya dinikmati bersama seperti kemudahan perhubungan awam, perkhidmatan kesihatan dan sebagainya. Sebagimana yang digambarkan oleh Shanon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan dan S.Othman Kelantan dalam Angin Timur Laut.

Tema dan Persoalan

Pada tahun 1960an, dari segi pengungkapan tema dan persoalan-persoalan yang berhubung dengan sosioekonomi dan sosiobudaya, beberapa orang pengarang novel pada dekad 60an, mereka dengan berani menanggapi, mencerna dan mengungkapkan persoalan-persoalan yang menyentuh tentang senario sosiopolitik di tanah air dalam pengertian yang luas dan sama ada yang bersifat semasa mahu pun yang telah menjadi bahan sejarah.

Antara pengarang-pengarang itu ialah Shahnon Ahmad, Ruhi Hayat, A.Samad Ismail, Arena Wati, Alias Ali, dan Hassan Ibrahim. Sehinggakan novel-novel yang mereka hasilkan dapat dilabelkan dalam ketegori novel-novel politik. Antaranya ialah Perdana, dan Menteri karya Shahnon Ahmad, Garis Hitam Membelah Langit (1966), Sorong Makan Tarik Makan (1967), Api dan Air Mata (1968), Api Itu Masih Membara (1968) dan Merangkaklah Senja Menutup Pandangan (1964) karya Ruhi Hayat.


NOVEL KEMASYARAKATAN

Novel-novel bercorak kemasyarakatan banyak ditulis pada dekad 1960-an. Persoalan yang dibawa adalah berkaitan dengan kehidupan masyarakat antaranya kemiskinan, kehilangan pimpinan, krisis moral dalam kalangan pemimpin dan anak muda, kehidupan rumah tangga dan pelacuran.antara pengarang yang yang melibatkan diri dalam menggarap persoalan ini adalah seperti Shahnon Ahmad, Ruhi Hayat, Abdullah Hussain, Yahya Samah, Salmi Manja, dan Khadijah Hashim.

Shahnon Ahmad merupakan salah seorang pengarang novel yang terkuat pada dekad 1960-an. Beliau telah menghasilkan enam buah novel antaranya ialah Rentong(1965), Terdedah(1965), Ranjau Sepanjang Jalan(1966), Protes (1967), Menteri(1967), dan Perdana (1969). Novel yang paling berjaya ialah Ranjau Sepanjang Jalan.
Novel Ranjau Sepanjang Jalan mengisahkan kehidupan miskin masyarakat tani di kedah, yang di gambarkan melalui sebuah keluarga di sebuah kampung. Kekuatan novel ini terletak pada dua perkara utama iaitu jalinan plot yang cerita yang kemas dan pemakaian bahasanya yang hidup dan segar. Novel ini adanya pemeliharaan pada kesatuan jalan cerita yang diperoleh daripada pemilihan dan penyusunan peristiwa-peristiwa yang sesuai dan berkesan. Moral ceritanya dapat ditonjolkan dengan berkesan.keistimewaan pada gaya bahasanya pula adalah kerana beberapa hal. Pertama, terlihat pada pembentukan ayat-ayatnya yang pendek tetapi padat dan bertenaga.kedua bahasa kiasan banyak ditimbulkan dalam bentuk yang asli. ketiga perulangan juga agak kerap digunakan untuk tujuan-tujuan penegasan dan keberkesanan, contohnya petikan cerita yang menunjukkan penggunaan bahasa sedemikian:

“Lahuma mengancingkan giginya atas bawah. Duri dalam daging mendesak-desak menghiris daging reput.berdenyut-denyut bisanya hinggakan Lahuma mengalah juga. Dan perasaan kekalahan itu diiringi dengan keluhan memanjang. Dia menunduk dan mengurut manja pada cabuknya. Dia merebahkan badan di atas lantai. Dia beralih ke kanan.Dia membongkok-bongkokkan kaki sakitnya. Dia meronta-ronta kesakitan. Dia bingkas duduk.dia tidur. Bingkas duduk lagi.tidur lagi.Dan kesakitan itu mengamuk juga tanpa sebarang simpati.”
(Shahnon Ahmad,1972:70)


Keempat dan terakhir, dialog yang ditimbulkan kebanyakan dapat menggambarkan berbagai-bagai perasaan watak. Dengan memiliki keistimewaan beginilah maka Ranjau Sepanjang Jalan menjadi salah sebuah novel yang terkuat dan teristimewa pada dekad 1960-an.

Seorang pengarang wanita yang turut menghasilkan novel kemasyarakatan ialah Khadijah Hashim. Selama dekad 1960-an, beliau telah menghasilkan dua buah novel iaitu Badai semalam(1968), dan Jalan Ke Kubur(1969). Daripada dua buah novel tersebut, Novel Badai Semalam dapat dianggap sebagai paling berjaya. Badai Semalam memaparkan kisah perjuangan wanita yang bercita-cita besar untuk mendapatkan pendidikan tinggi sehingga peringkat universiti.


Kekuatan novel ini terletak pada kemampuan pengarang untuk mengemukakan teknik yang dapat menimbulkan minat pembaca secara berterusan. Pembaca dapat dibawa untuk serta merasakan perasaan dan fikiran watak melalui gambaran dialog luaran dan dalaman yang hidup. Watak utama utama berjaya didedahkan sebagai watak pusat yang merangkai segala peristiwa yang berlaku dalam diri dan di luar persekitarannya. Ini berpadanan pula dengan corak plotnya yang penuh dengan peristiwa-peristiwa yang cemas dalam hubungannya dengan penghambatan hidup yang duka dengan pemenuhan cita-cita yang murni. Tambahan pula bahasanya lancar, indah dan sesuai dengan corak persoalan yang ingin disampaikan.

Novel Perang

Bersama-sama dengan penulis novel kemasyarakatan, muncul pula novel-novel yang bertemakan perang. Novel perang ini lebih mendedahkan persoalan daripada kesan perang dunia kedua yang dirasai oleh masyarakat. Pada dekad 1960-an ini, novel perang banyak dihasilkan oleh A.Samad Said. A.samad Said menjadi pengarang novel yang paling berjaya apabila terbitnya novel Salina pada tahun 1961, yang sesungguhnya ditulis untuk “peraduan mengarang novel” anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 1958. Beliau juga ada menghasilkan dua buah novel lagi iaitu Bulan tak bermadu di Fatehpur Sikri(1967) dan sungai mengalir lesu (1967).

Keistimewaan novel salina sebagai sebuah novel melayu yang yang paling berhasil tidak dapat disangkal lagi. Profesor A.Teeuw, seorang pengkaji sastera Indonesia dan Melayu dari Belanda yang terkenal, pernah menyebut bahawa salina memiliki mutu penciptaan novel yang bertaraf antarabangsa. Novel ini mengisahkan kehidupan sebahagian daripada mangsa-mangsa Perang Dunia Kedua di sebuah perkampungan kecil di Singapura bernama kampung kambing. Antara mangsanya ialah Siti Salina yang berasal daripada keluarga saudagar intan berlian tetapi terkorban dalam peperangan. Kerana desakan hidup siti salina yang memang berwajah jelita terpaksa menjadi pelacur biarpun dirinya berpelajaran.


Kekuatan novel salina terletak pada kemampuan pengarangnya memberikan pelukisan yang terperinci dan hidup terhadap watak yang terlibat dengan peristiwa serta suasana yang melingkunginya. Ini berjaya dilakukan oleh adanya penggunaan teknik yang berkesan dalam aspek-aspek dialog, lintasan kembalidan imbas muka. Dialog diadakan untuk berfungsi dalam pelbagai hal, iaitu untuk membina plot, membentuk fikiran dan sikap watak serta menonjolkan tema.

Peristiwa-peristiwa pula terbina dan tersusun dalam cara yang penuh dengan daya ketegangan melalui penggunaan teknik-teknik lintasan kembali dan imbas muka yang silih berganti. Dalam monolog dalaman yang turut diturutkan, terdedah dengan adanya peribadi dan konflik watak di samping membina peristiwa-peristiwa tertentu yang dialami watak. Demikianlah maka novel Salina dikatakan sebagi telah memberikan arah terbaru dalam perkembangan yang pelbagai dalam teknik-teknik moden; ia berhasil memperlihatkan sesuatu perubahan dan penyimpangan yang radikal terhadap struktur penciptaan novel-novel Melayu.

Novel Politik

Novel yang bertemakan politik pula diertikan sebagai novel yang membicarakan persoalan tentang corak politik tanah air dan tokoh-tokoh politik yang terlibat dengan pergerakan parti-parti politik. Novel politik ditulis oleh Arena Wati dan Alias Ali.

Novel-novel politik pula dihasilkan oleh pengarang daripada kalangan wartawan seperti A.Samad Ismail dan Alias Ali. Dua buah novel politik yang berjaya ditulis dengan agak baik oleh dua pengarang tersebut ialah Kail Panjang Sejengkal (1967) dan krisis (1966). Antara kedua-dua novel ini ternyata novel krisis lebih berhasil.

Novel Krisis membentangkan kisah konflik tokoh-tokoh pemimpin parti politik semasa menghadapi pilihan raya di pekan baru, Terengganu pada tahun 1959. Parti yang terkuat di pekan tersebut ialah Parti Srikala dengan ketuanya Syed Kidam yang menjadi ahli yang terhormat. ketua itu mendapat tentangan daripada Jabar, ahli jawatan kuasa parti tersebut. Lalu Syed kidam memecat Jabar kerana risau pengaruh Jabar yang kuat. Pada pilihan Raya seterusnya Jabar yang memasuki parti Ikhwan telah bertanding menentang Syed kidam. Semasa berkempen, kedua-dua mereka menggunakan cara kotor. Akhirnya kemenangan berpihak kepada Jabar atas bantuan Lebai Ismail yang menimbulkan isu-isu agama semasa berkempen.

Novel ini menarik kerana ia berhasil memperlihatkan suatu cara perlaksanaan demokrasi di sebuah daerah perkampungan kecil yang kebanyakan rakyatnya tidak memahami sepenuhnya erti demokrasi. Novel ini mengutamakan urutan plot yang sederhana dengan susunan peristiwa-peristiwa yang berbentuk kronologi; peristiwa-peristiwa adalah menarik sehingga dapat menjadikan ketegangan yang memanjang sehingga kepada pengakhiran cerita. Ini diperkuat pula dengan keberhasilan pengarang menggunakan sudut pandangan objektifnya. Pengarang dalam cerita ini hanya bertindak sebagai pemerhati dengan peranannya dibataskan untuk melukiskan hanya apa yang dapat diperhatikan sahaja. Dengan cara sedemikian, pengarang berjaya menimbulkan unsur saranan dalam setiap pelukisan yang dikemukakan, yang memberikan sifat keistimewaan sesungguhnya pada novel Krisis ini.

NOVEL SEJARAH

Novel yang berkaitan dengan novel politik yang turut tertulis dalam dekad 1960-an ialah novel sejarah. Novel corak ini banyak di hasilkan oleh pengarang veteran Harun Aminurrashid. Beliau telah menghasilkan enam buah novel, empat daripadanya adalah novel sejarah. karya-karyanya ialah Anak panglima Awang(1969), Nur Dan Ros(1962),Tun Mandak(1963), Gugur Di lembah Kinabalu(1965), Simpang Perinang(1966),dan Wan Derus(1966). Daripada jumlah ini, Gugur di lembah kinabalu dapat dianggap sebagai novel sejarah Harun Aminurrashid yang paling berjaya dalam dekad 1960-an.

Novel Gugur di lembah Kinabalu melukiskan perjuangan sebilangan perwira bumiputera negeri Sabah, yang diketuai oleh orang kaya Mat Salleh, menentang penjajah inggeris. Dalam pelukisan perjuangan inilah disingkapkan kembali sejarah permulaan kekuasaan perjuangan inggeris di Sabah dan di Negara-negara Asia tenggara yang lain termasuk Brunei, Sarawak, dan Labuan. Malah di dalamnya turut diperkaitkan Kesultanan Sulu yang menguasai Sabah pada zaman dahulu.

Keistimewaan novel ini adalah kejayaan pengarang menyerlahkan semula perjuangan anak negeri sabah terhadap kekuasaan penjajah inggeris. Persoalan-persoalan tentang kehidupan dan kebudayaan penduduk-penduduk bumiputera sabah turut dipaparkan dengan penulisan yang menarik. Semuanya terpancar melalui jalinan plot yang mudah diikuti, tetapi penuh daya tegangan dan daya bahasa yang lancar dan bertenaga.

Sumbangan dan Peranan Badan Penerbitan

Sumbangan dan peranan yang tidak putus-putus yang diberikan oleh institusi-institusi atau badan penerbit awam dan swasta pada tahun 1960an sangat mendorong pengarang-pengarang menghasilkan karya mereka. Antara badan-badan penerbit itu ialah The Sentosa Store, Segamat Press, Annies Printing Works, Dewan Bahasa dan Pustaka, Pustaka Nasional, H.C Muhammad Abdul Rahman, Pustaka Gunung Tahan, Penerbitan Utusan Melayu, Geliga Ltd, Timur Press, Penerbitan Pena sdn. Bhd, Penerbitan Pustaka Antara, Saudara Sinaran Bhd, dan lain-lain.

Badan penerbit lain ialah Oxford University Press, Federal Publications dan penerbit kecil seperti Pustaka Murni Kelantan, Penerbitan Menara, dan BI-Karya di Kuala Lumpur, yang tidak mahu ketinggalan untuk menerbitkan karya-karya novel. Penglibatan penerbit-penrbit ini, yang bersedia menerbitkan karya-karya tersebut, memberikan dorongan yang besar kepada pengarang-pengaran novel untuk terus menghasilkan karya mereka. Karya-karya yang dihasilkan dapat dirasakan sebagi telah memperoleh jaminan untuk diterbitkan, penat lelah dan pemikiran mereka mendapat perhatian serta pengharapan, malah diberi imbuhan sejumlah royalti yang agak menyenangkan. Semua ini berpadu untuk menghidupkan inisiatif pengarang dalam penghasilan yang segera lagi banyak novel.

Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya – yang mula tertubuh pada tahun 1953 di Universiti Malaya Singapura, dan kemudian pada tahun 1959 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur memberikan sumbangan ke arah ini dengan menyediakan pengarang dan pengkritik novel yang berwibawa seperti Mohd. Taib Osman, Ismail Hussien, Syed Husin Ali, Hassan Ibrahim, Ali Haji Ahmad, Abu Bakar Hamid dan Kassim Ahmad.

Persatuan dan pertubuhan penulis yang mekar tumbuh dalam dekad ini juga memainkan peranan yang bukan sedikit terhadap penggalakan penulisan novel ini. Badan yang paling aktif ialah PENA; iaitu telah mengadakan berbagai-bagai kegiatan sastera seperti ceramah, forum, kelab kritik dan bengkel-bengkel penulisan. Malah sebuah jurnal kesusasteraan berjudul Penulis turut diterbitkan untuk memutkan tulisan-tulisan kajian dan kritikan tentang novel bersama-sama bentuk sastera lainnya.

Bagaimanapun lantaran sebab-sebab tertentu seperti pengurusan dan kewangan serta kerugian yang ditanggung lantaran pulangan yang tidak memuskan berbanding dengan kos penerbitan, tambahan pula sebagaimana yang kita sedia maklum pemasaran terhadap sesebuah novel yang baru diterbitkan pada waktu itu agak lembap, ini menyebabkan kebanyakan penerbit terutamanaya kepunyaan individu (swasta) di atas sudah tidak beroperasi lagi. Kecuali penerbit yang benar-benar kukuh pengurusan dan kewangannya yang bertahan dan terus berperanan selepas dekad 60an itu, mlalah ada yang hingga dekad 90an seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Penerbitan Utusan Melayu.

Sebagai sebuah institusi penerbitan kerajaan tentu sahaja Dewan Bahasa dan Pustaka tidak menghadapi hambatan yang besar dari segi kewangan dalam pembiayaan penerbitan sesebuah novel itu sejak mula ditubuhkan hinggalah sekarang. Tanpa peranan dan sumbangan besar yang diberikan oleh badan-badan penerbit itu tentu saja skrip-skrip novel yang dihasilkan dengan jumlah yang relatif banyak itu sama ada hasil daripada sesuatu peraduan mengarang seperti yang telah dibincanagan mahu pun yang bukan sudah pastilah khalayak pembaca dan pengkaji kesusasteraan melayu khususnya novel tidak mungkin membaca dan membincangkan tentang perubahan-perubahan dan penyimpangan-penyimpangan yang dilakukan oleh pengarang-pengarangnya, baik dalam aspek pemikiran (tama dan persoalan-persoalan) mahu pun teknik penceritaan dengan novel-novel yang diterbitkan sebelum tahun-tahun 1940an itu.

Demikian kita dapati bahawa novel-novel yang tertulis pada dekad 1960an banyak membawa kemajuan dan perubahan. Pertama, ini jelas pada aspek tema dan persoalan yang semakin luas dan dalam ruang lingkupnya, pendedahannya tidak lagi terbatas hanya kepada perkara-perkara yang berlaku di luar diri manusia, yang ternyata memiliki permasalahan yang lebih benar dan menarik. Kedua, penggunaan teknik baru pula adalah lebih berkesan dan sesuai. Kepelbagaian teknik baru penulisan cereka cuba digunakan dengan sepenuhnya oleh pengarang-pengarang berjiwa baru yang datang daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan pendidikan. Ketiga dan terakhir, novel-novel dekad 1960an telah berjaya mengubah arah aliran penulisan novel Melayu kepada suatu tahap pencapaian yang lebih bermakna, iaitu pencapaian antarabangsa.

Perkembangan genre novel dalam sejarah perkembanganan novel 1960an dilihat cukup memberansangkan, terutamanya dengan munculnya bebrapa orang pengarang novel yang menampakkan potensi besar dalam aspek pemilihan dan pengolahan sesuatu isu yang terjadi di dalam dan di luar lingkungan masyrakatnya (sama ada masyarakat desa mahu pun kota), terutama yang berhubung dengan sosioekonomi, sosiopolitik, dan sosiobudaya mereka, juga dalam aspek teknik dan gaya penceritaan seperti yang telah dihuraikan. Pengarang novel yang muncul pada dekad 60an, mempunyai daya kreativiti dan sensitivitinya yang tersendiri yang boleh mengangkat maruah dan kejatian mereka sebagai pengarang novel.

Natijahnya, pada tahun 1960an istilah pengaruh dipandang sedikit negatif dalam proses penghasilan sesebuah karya sastera. Terdapat pengaruhan unsur-unsur interfeks dalam aspek isu dan pemikiran yang menjadi tema dan persoalan-persoalan mahu pun dalam aspek teknik penceritaan yang diterapkan dalam novel-novel mereka. Dalam aspek isu yang menjadi pemikiran kepada pengarang tahun 1960an memang tidak dapat dinafikan terdapatnya teks-teks pemikiran pengarang –pengarang sebelumnya sama ada secara sedar mahu pun tidak. Hal inilah yang menyebabkan isu-isu yang berhubung dengan kemasyarakatan itu sentiasa muncul pada bila-bila masa sahaja dan sejagat sifatnya, Cuma dalam bentuk, keadaan dan suasana yang berbeza. Segala dilema dan fenomena ini ditanggapi dan diolah oleh pengarang-pengarang dari perspektif dan vision yang berbeza.

1 comment:

  1. ada maklumat untuk sejarah perkembangan novel untuk tahun 1941-1949 tak ? saya dah banyak kali cari pasal 1941 tapi maklumat yang diperolehi amat sedikit.

    ReplyDelete